Sunday, November 7, 2010

Blog Media Baru Salur Maklumat

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Seri Ahmad Said, Ahmad Fathil, dan Rosli Zakaria bersama para pemenang Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Blog merupakan media baru yang boleh membantu rakyat, negeri dan negara menyampaikan mesej kepada orang awam terutama pelayar internet.

“Melalui blog juga, ia boleh diguna untuk menaikan dan menjatuhkan seseorang,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010, di Primula Beach Resort, petang semalam (2 November).


Hadir sama, Pengarah Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani; Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Encik Rosli Zakaria; Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Encik Roshali Taha dan Ketua Sektor ICT, Jabatan Pelajaran Terengganu, merangkap Ketua Hakim Pertandingan, Encik Nasir Ismail.

Katanya, apa pun tujuan blog dicipta, yang pasti ada kreativiti untuk menyalurkan makumat seperti menyalurkan mesej kerajaan negeri untuk pelancongan yang akan menjadi tulang belakang ekonomi negeri pada masa akan datang.

“Pertandingan ini juga merupakan perintis kepada usaha memperkasakan sektor pelancongan untuk perkenalkan nama Terengganu di serata dunia dan kerajaan tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membayar iklan promosi,” katanya.

Beliau kemudiannya bersetuju iklan itu suatu yang penting untuk tujuan promosi, tetapi keindahan dan kebersihan satu-satu destinasi itu dengan sendirinya boleh menjadi bahan bualan pelancong apabila mereka kembali ke nagara asal masing-masing.

“Mungkin pada masa akan datang pertandingan ini diadakan dengan tema ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pelancongan’ dengan skop yang lebih luas, merangkumi perspektif sosial dan ekonomi serta mengajak peserta untuk uar-uarkan kepada umum usaha kerajaan membangun negeri,” katanya.

Pertandingan yang dibuka selama enam bulan bermula April hingga September ini dengan tema ‘Terengganu Di Hati Ku’ menerima 398 penyertaan dari seluruh negara, dari jumlah tersebut, 261 peserta layak bertanding dan dipantau oleh urusetia bagi memastikan tiada aktiviti tidak sihat berlaku di laman blog penyertaan.

Pertandingan ini juga mendapat hit hampir 23,000, yang turut dilayari dari seluruh dunia seperti United Kingdom, Russia, Indonesia, Singapura, Egypt, Mongolia, Slovenia, Taiwan, France, Canada dan Netherlands.

Puan Norhaizan Abd Kadir dari Kuantan, Pahang muncul johan Kategori Terbuka, tempat kedua Encik Suzairi Zakaria dari Setiu dan ketiga Encik Syahreil Hafiz Shamsuddin dari Shah Alam, Selangor.

Kategori IPT, johan dimenangi Encik Mohammad Syazwan Safwan Jaafar dari Marang, Terenggau, Fairuz Abdul Rashid dari Kuala Terengganu (kedua) dan Aliashim Albani dari Kuala Terengganu (ketiga) manakala Kategori Sekolah dimenangi Syukrina Muhamad Razak dari Kedah, Wan Aini Athirah Wan Mohd Rahim dari Kuala Terengganu (kedua) dan Siti Haziqah Ismail dari Kemaman, Terengganu (ketiga).

Kategori Terbuka menawarkan RM10,000 (pertama), RM7,000 (kedua), RM5,000 (ketiga) disamping pakej penginapan dan sebah kamera digital dan RM3,000 (keempat) dan RM2,000 (kelima) serta masing-masing RM500 kepada 10 pemenang saguhati.

Kategori IPT, tempat pertama menerima RM7,000, RM5,000 (kedua) RM3,000 (ketiga) beserta pakej penginapan dan kamera digital manakala RM2,000, (keempat), RM1,500 (kelima) dan masing-masing RM300 kepada tujuh pemenang saguhati.

Kategori Sekolah, RM5,000 (pertama) RM3,500 (kedua), RM2,500 (ketiga) beserta pakej penginapan manakala RM1,500 (keempat), RM1,000 (kelima) dan masing-masing RM250 kepada enam pemenang saguhati.


TERENGGANU HARI INI


1 comment:

  1. JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN TERENGGANU YANG MEMBERI PELUANG KEPADA KAMI SEMUA UNTUK MASUK PERTANDINGAN SEUMPAMA INI ...http://berbaloiditerengganukita.blogspot.com

    ReplyDelete