Saturday, February 12, 2011

Kerajaan Lulus RM10 juta Tingkat Kemudahan Hospital Kemaman

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Zul Putra


Menteri Kesihatan, Dato' Seri Liow Tiong Lai bersama Dato' Ahmad Shabery Cheek dan Dato' Seri Ahmad Said ketika melakukan lawatan ke Hospital Kemaman.

Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan RM10 juta bagi menaiktaraf pelbagai kemudahan di Hospital Kemaman, dalam usaha menyediakan lebih banyak kemudahan kesihatan dan menaiktaraf kesihatan rakyat, khususnya penduduk di daerah berkenaan.


Kelulusan serta-merta itu dilakukan hasil lawatan kerja Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, ke hospital berkenaan hari ini, bagi meninjau secara lebih dekat pelbagai masalah yang dihadapi pihak pengurusan hospital berkenaan.

Beliau berkata, sebahagian daripada peruntukan segera itu akan digunakan bagi menyediakan pelbagai peralatan kesihatan, termasuk CT Scan dan pelbagai peralatan untuk dewan bedah.



“Sebahagian lagi akan digunakan bagi mewujudkan wad Unit Rawatan Rapi (UCI) di hospital ini kerana hospital ini belum mempunyai kemudahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke hospital berkenaan.

Turut serta dalam lawatan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Dato’ Seri Liow berkata, pihaknya prihatin dengan masalah kesesakan di wad hospital berkenaan dan kekurangan doktor pakar dan langkah jangka panjang akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.



Bagi keselesaan pesakit, katanya, kementerian itu akan membina sebuah hospital baru di Bandar Baru Kijal di mana kawasan seluas 50 ekar sudah dikenal pasti bagi tujuan berkenaan.

“Hospital baru ini akan dibina melalui Rancangan Malaysia ke-10 dengan mengambil kira pelbagai kemudahan yang diperlukan, termasuk menambah bilangan klinik-klinik pakar untuk pesakit menerima rawatan,” ujar beliau.


TERENGGANU HARI INI

No comments:

Post a Comment