Thursday, January 6, 2011

Hulu Terengganu Banjir

KUALA TERENGGANU - Seramai 338 penduduk daripada 84 keluarga di empat buah kampung di Hulu Terengganu kini sudah mula berpindah sejak tengah hari semalam akibat banjir, setelah hujan sejak beberapa hari lalu.


Setakat ini, empat pusat pemindahan telah dibuka, iaitu di Balai raya Kampung Cheting, Balai raya Kampung Peneh, Balai raya Kuala Menjing serta Balai raya dan Masjid Kampung Sekayu.

Paras sungai di dua kawasan di Sungai Besut dan Dungun kini juga sudah melepasi paras bahaya, manakala empat buah sungai di Sungai Kuala Terengganu dan Setiu kini melepasi paras amaran.

Mengikut Kenyataan Banjir Negeri Terengganu di www.terengganu.gov.my, stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu di Stesen Sungai Besut di Kampung La kini melepasi paras bahaya, iaitu 19.28 meter, berbanding paras bahaya iaitu 19.2 meter.


Stesen JPS Sungai Dungun di Kuala Jengai juga turut melepasi paras bahaya iaitu mencatatkan bacaan 20.34 meter, berbanding paras bahaya iaitu 19.80 meter.


Manakala Stesen JPS Sungai Besut di Jambatan Keruak kini sudah melepasi paras amaran, iaitu 34.60 meter, berbanding paras amaran iaitu 33 meter dan Stesen JPS Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja juga melepasi paras amaran, iaitu mencatatkan bacaan 35.62 meter berbanding 35.50 meter.

Gambar Hiasan

Stesen JPS Sungai Berang di Kampung Menerong turut melepasi paras amaran, iaitu 25.21 meter, berbanding 24.50 meter dan Stesen JPS Sungai Setiu di Kampung Besut turut melepasi paras amaran, iaitu 17.26 meter, berbanding 16.40 meter.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia semalam mengeluarkan nasihat hujan lebat dan ribut petir peringkat kuning di beberapa kawasan di Terengganu.

Menurut kenyataan itu, hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman mulai pagi Rabu, 5 Januari sehingga malam Sabtu, 8 Januari.

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berdekatan tebing sungai.

Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua juga dikeluarkan, dengan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Kelantan dan Terengganu, dijangka berterusan sehingga Rabu, 12 Januari.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

sumber: Sinar Harian

TERENGGANU HARI INI

No comments:

Post a Comment