Wednesday, January 12, 2011

Tebatan Banjir Selesai Masalah

Kerajaan Negeri akan melaksanakan beberapa lagi projek tebatan banjir seperti yang dilaksanakan di Taman Desa Pusu Tiga selepas projek perintis itu menunjukkan petanda positif, walaupun belum siap sepenuhnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, projek tebatan banjir yang pertama kali diperkenalkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu membabitkan kos sebanyak RM5.6 juta dengan keluasan 825 meter bagi penyediaan dua pam air, benteng serta rumah pam.

“Saya bersyukur kerana walaupun projek (tebatan banjir) belum siap sepenuhnya, tetapi hasil perancangan Kerajaan Negeri, JPS dan wakil rakyat akhirnya mampu menyelesaikan masalah banjir.
Gambar Hiasan
“Kesusahan penduduk di sini yang terpaksa berpindah selama sebulan berikutan rumah mereka ditakungi air akhirnya selesai,” katanya.

Ahmad berkata, beliau melihat konsep baru iaitu tebatan banjir di kawasan yang ditakungi air di Taman Desa Pusu Tiga menunjukkan kejayaan.

“Saya juga bercadang membuat konsep yang sama di beberapa tempat yang berhadapan dengan masalah banjir akibat air bertakung,” katanya ketika melawat Tapak Projek Tebatan Banjir Taman Desa Pusu Tiga, Gong Badak, semalam.

Ahmad ketika ditemui, turut menyifatkan kelicinan proses pembinaan tebatan banjir dan impak positif itu turut mengakui bahawa ia adalah bukti Kerajaan Negeri menunaikan segala janji yang dibuat kepada rakyat sebelum ini dan bukan menunggu pilihan raya semata-mata.

Katanya, alternatif pembinaan tebatan banjir untuk mengelak berlakunya banjir akan turut dilaksanakan di Taman Rakyat, Gong Pasir, Dungun, yang turut mengalami masalah sama dan tender projek akan dikeluarkan Februari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kos sebenar projek berkenaan, sebaliknya mengakui ia akan membabitkan kos ang agak tinggi berdasarkan jumlah rakyat ramai dan kawasan yang lebih besar berbanding Taman Desa Pusu Tiga.

Dalam perkembangan sama, Ahmad turut menjelaskan JPS sedang membuat kajian di sebuah lagi kawasan perumahan berdekatan iaitu di Perumahan Kampung Baruh Tok Jiring yang berhadapan masalah sama.

Hadir sama sempena lawatan tapak projek itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Mat Hussin Ghani.

Sumber: Sinar Harian

TERENGGANU HARI INI

No comments:

Post a Comment