Wednesday, January 12, 2011

Pembedahan Nurul Ditanggung Oleh Kerajaan Negeri

Beginilah keadaan Nurul Dahyatul Fazlinda selepas pembedahan

Kerajaan Negeri menanggung semua kos pembedahan dan rawatan kanak-kanak mangsa simbahan asid oleh bapa sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata demikian kelmarin selepas melawat kanak-kanak itu di Wad Unit Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Nurul dijangka boleh kembali ke sekolah dalam tempoh dua minggu lagi, selepas pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan memulihkan parut di wajahnya.

Dia yang ditemui berkata dia gembira kerana selamat menjalani pembedahan pertama itu dan berharap dapat cepat kembali ke sekolah kerana sudah mula merindui rakan sekelasnya yang disifatkannya baik dan tidak memandang rendah dirinya yang cacat di muka.

Pakar Perunding Pembedahan Plastik HSNZ, Dr Najiha Syarida Zakaria, berkata murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Setar, Kuala Berang itu yang selamat menjalani pembedahan pertama, kelmarin, perlu menjalani pembedahan kedua dalam tempoh enam bulan lagi.

Beliau berkata, dia perlu mematuhi arahan doktor, termasuk memakai topeng khas yang dibekalkan pihak hospital bagi mempercepatkan proses memperkemaskan parut tebal di wajahnya.

"Walaupun Lin menjalani pembedahan mengurangkan parut di mukanya, kesan parut itu tetap akan ada dan kekal di wajahnya dengan pembedahan cuma mengurangkan serta memperkemaskan kesan itu.

“Dia akan menjalani pembedahan peringkat kedua sekurang-kurangnya dalam
tempoh enam bulan lagi, selepas pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan pertama.

Dia perlu menjalani beberapa pembedahan lagi,” katanya.Nurul melalui pembedahan selama tiga jam kelmarin yang diketuai olehnya dengan bantuan lima doktor lain.

Kanak-kanak berkenaan serta ahli keluarganya lain yang turut tercedera dalam kejadian malang pada 15 Ogos lalu.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29; adiknya, Muhammad Irfan firdaus, 3 dan neneknya, Minah Omar, 56.

TERENGGANU HARI INI

No comments:

Post a Comment