Tuesday, November 23, 2010

10 Juta Pelancong Dijangka ke Terengganu pada 2012



Oleh: Asma Aishah

Kerajaan negeri yakin Terengganu akan mengalami limpahan pelancong sehingga mencecah 10 juta orang setahun apabila Tasik Kenyir mula dibuka sebagai zon bebas cukai menjelang akhir tahun 2012.

Tasik buatan manusia terbesar di Asia yang dijadikan zon berkenaan bakal menjadi pemangkin cukup kuat bagi melonjakkan industri pelancongan dan ekonomi negeri malah mengurangkan pergantungan kepada hasil petroleum. Sehubungan itu, Hulu Terengganu bersiap sedia untuk turut serta dalam pelbagai kegiatan bagi menjana ekonomi dan tidak sekadar menjadi pemerhati.
Keindahan Tasik Kenyir tidak boleh dipertikaikan lagi

Keutamaan akan tetap diberikan kepada rakyat negeri ini untuk turut serta, namun melalui peluang yang terbuka kelak, mereka perlulah meneroka secara kreatif penglibatan dalam industri pelancongan.Dato' Seri Ahmad Said menasihatkan mereka yang tinggal berhampiran tidak ghairah menjual tanah-tanah mereka, sebaliknya memanfaatkan sebagai asas perniagaan termasuk membangunkan premis penginapan.

“Kita menyasarkan ia akan mula beroperasi pada Ogos 2012 dan berharap pelbagai jabatan dan agensi berkaitan mengurangkan kerenah birokrasi bagi menjayakannya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Dengan Pemimpin Masyarakat Setempat dan Taklimat Mengenai Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai di Dewan Majlis Daerah, kelmarin.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang. Taklimat disampaikan Pengarah Kastam negeri, Datuk Azis Yacub.

Tasik Kenyir seluas 65,417 hektar dan mempunyai 340 pulau dengan pelbagai daya tarikan tersendiri mendapat kelulusan Kerajaan Pusat pada September lalu untuk dijadikan zon berkenaan.

Ahmad Said berkata, selain menjadi destinasi membeli belah utama, ia akan menjadi pusat rekreasi keluarga dengan pelbagai tarikan seperti taman tema air, taman bunga, herba dan taman haiwan di samping syurga bagi pemancing antarabangsa.

Bagaimanapun, menurutnya, di kalangan pemimpin pembangkang di sini, mereka cuba memberi gambaran mengelirukan kepada masyarakat berhubung usaha menjana ekonomi negeri dan rakyat.

Malah, katanya, gelaran bandar Kuala Berang sebagai ‘bandar di bawah air’ yang bakal dimajukan seiring dengan perkembangan itu dijadikan bahan momokan dalam ceramah mereka.

“Usaha kerajaan negeri cuba memperlekehkan dengan kenyataan kononnya tidak beri sebarang manfaat kepada rakyat dengan dakwaan kononnya ia gimik politik,” katanya.
Beliau menarik perhatian usaha awal ke arah pelaksanaan telah bermula dan kerajaan menyediakan peruntukan kira-kira RM100 juta pada tahun depan untuk menyediakan prasarana lengkap.

Terdahulu, semasa berucap pada majlis itu, beliau berkata, peruntukan sebanyak RM30 juta disediakan bagi penyaluran kabel elektrik sepanjang 23 kilometer dalam waktu yang singkat untuk menyegerakan pelaksanaan projek.

Di samping itu, katanya, jalan masuk dari simpang jalan utama dari Kampung Teris ke Empangan Gawi sejauh 15 kilometer dijadikan laluan empat lorong.

Sementara itu, Azis dalam taklimatnya menyatakan, pihaknya akan menempatkan 50 pegawai penguat kuasa bagi melakukan pengawasan dan mengelak kebocoran hasil.

“Tiga bot peronda bersama bot penguat kuasa lain akan ditempatkan di tasik itu. Beberapa kawasan yang mudah dibolosi akan di pagar,” katanya.

Utusan Malaysia


TERENGGANU HARI INI

No comments:

Post a Comment