Sunday, January 30, 2011

Komunikasi bantu capai matlamat

Isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud mengakui mengalami kesukaran untuk berucap depan khalayak ramai pada peringkat awal suaminya, Datuk Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besar.

Menurutnya, sifat malu dan sukar untuk membuat pengucapan awam membuatkan dia gementar untuk berucap depan khalayak.


Bagaimanapun, katanya, sebagai isteri Menteri Besar, dia perlu cepat belajar dan membiasakan diri serta sentiasa berusaha untuk memperbaiki kemahiran berkomunikasi dan berucap.

“Bukan semua insan ada bakat dan kemahiran untuk berucap di hadapan orang ramai. Namun begitu, kita perlu akui kemahiran komunikasi ini amat penting, apatah lagi ia adalah salah satu kaedah untuk mencapai matlamat dan sasaran.

“Semua kita masih boleh menjadi pemidato hebat jika didedahkan dengan teknik dan cara berpidato. Apa yang penting, kesungguhan kita untuk mempelajarinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pertandingan Pidato Piala Toh Puan Seri Norliza di Dewan Tuanku Abdul Rahman di sini, semalam. Program tersebut adalah anjuran Pergerakan Puteri UMNO Terengganu.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Ketua Puteri UMNO Terengganu, Asfalinda Anuar dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Nordiana Shafie.

Pada majlis itu, Amirah Nabilah Azhari dari Puteri UMNO Bahagian Kemaman diisytiharkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah berupa piala, wang tunai RM500, sijil dan hamper.

Tempat kedua pula dimenangi Wan Nurul Hikmat Wan Ibrahim (Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu manakala tempat ketiga dimenangi Nor Aziati Abd Razif (Puteri UMNO Bahagian Kemaman). Masing-masing membawa pulang hadiah berupa RM300 dan RM200 berserta sijil dan hamper.

Sementara itu, Norliza memuji langkah Puteri UMNO Terengganu yang menganjurkan program berkenaan dan mengharapkan ia diteruskan serta dapat melahirkan lebih ramai pemidato terbaik pada masa akan datang.
TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Monday, January 24, 2011

Rombongan Terengganu Terus Bantu Kempen Calon BN

Rombongan Terengganu yang diketuai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said merangkap Menteri Besar Terengganu terus menjalankan gerak kerja secara turun terus ke rumah pengundi, khususnya melawat pengundi yang uzur.


Kira-kira jam 3.00 petang semalam (22 Januari) Ahmad dan rombongan megunjungi beberapa buah rumah di sekitar Perumahan Awam Labis.

Bagi beliau, sentuhan terus kepada jiwa dan perasaan pengundi melalui program ziarah itu adalah amat berkesan, lebih-lebih lagi kepada pengundi yang sakit atau uzur di rumah mereka.

Perumahan Awam Labis yang terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Labis kebanyakannya didiami oleh golongan berpendapatan rendah.

Selepas itu, rombongan beredar menemui golongan muda yang bereakreasi di sebuah kawasan berhampiran padang awam di kawasan perumahan itu dan mengajak semua yang ada minum bersama-samanya di sebuah warong berhampiran.

Pada sebelah malam Ahmad Said menemui jentera pilihanraya BN Perumahan Awam tersebut serta memberikan taklimat mengenai pengalaman beliau menghadapi Pas di Terengganu.

Beliau meminta orang-orang Johor menolak Pas kerana golongan ini hanya pandai berkata-kata semata-mata tetapi tidak melaksanakan apa yang diperkatakannya itu, malah rakyat menderita sepanjang pemerintahan mereka.

“Saya berdepan secara berdepan dengan Haji Hadi sendiri pun mengenai Pas yang saya anggap sebagai Parti Ajaran Sesat yang banyak merosakkan aqidah umat Islam,” ujarnya kepada jentera pilihanraya di kawasan itu.

Bayangkalah berlaku sembahyang dua imam, nikah dua kali kerana pemimpin Pas menfatwa jurunikah Umno tidah sah, sembelihan orang Umno diharamkan dan sebagainya yang amat merosakkan aqidah kerana tindakan pemimpin PAS mengkafirkan sesama Islam.

Hadir sama Dato’ Tengku Putera Awang (Speaker DUN Terengganu), YB Toh Chin Yaw (ADUN Bandar Kuala Terengganu), Ketua Wanita Umno, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Umno Terengganu.

Sementara itu dalam ceramahnya di Felda Cempelak Barat selepas itu beliau menyifatkan orang Johor bertuah kerana Umno dilahirkan di negeri Johor, yakni di Istana Sultan Johor.

Pas dilahirkan dari rasa tidak puas hati seorang pemimpin yang asalnya berada dalam Biro Agama Umno tetapi tewas dalam pemilihan parti kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman, kemudian keluar dengan penuh rasa keciwa dan menubuhkan Pas.

Turut berceramah bersama beliau ialah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohd.Fairus Khairuddin yang keluar dari Parti Keadilan (PKR).

Sumber : Teganukita

TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Sunday, January 23, 2011

Veteran UMNO Minta Pakar IT

Pengerusi Persatuan Veteran UMNO Bahagian Kuala Nerus, Syed Muhammad Syed Idrus, meminta Kerajaan Negeri menempatkan seorang pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) yang berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat (IT) untuk membantu pihaknya menyusun aktiviti dengan lebih teratur.


Menurutnya, ketiadaan pakar dalam bidang berkenaan secara tidak langsung mengundang kesulitan dalam melaksanakan aktiviti secara tersusun, memandangkan rata-rata ahli yang terlibat kurang pengetahuan dalam menggunakan teknologi komputer.

“Sehubungan itu, kita meminta agar permohonan ini dipertimbangkan sebaiknya kerana kita percaya dan yakin, aktiviti dapat disusun dengan lebih baik jika ada pegawai yang berkemahiran membantu kita (Persatuan Veteran UMNO).

“Ini sebab, dalam tenaga dan kudrat yang tidak seberapa, sukar untuk ahli bertindak lebih agresif dan bantuan golongan muda sememangnya diperlukan dalam hal ini (penggunaan IT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Pemimpin Bersama Veteran UMNO Bahagian Kuala Nerus di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, semalam.

Menurut Syed Muhammad, permintaan yang dibuat itu jelas membuktikan bahawa penggiat politik yang digelar veteran sememangnya serius untuk membantu parti yang berterusan memperjuangkan hak rakyat, meskipun pergerakan terbatas berikutan faktor usia.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam ucapan perasmian majlis itu turut mengumumkan akan menempatkan pakar IT khusus untuk Persatuan Veteran UMNO mempelajari bidang IT.

Sumber : Sinar Harian


TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Monday, January 17, 2011

2,000 terima 'duit raya' sempena Tahun Baru Cina



Lebih 2,000 kaum Cina di daerah Kemaman menerima 'duit raya' sempena sambutan Tahun Baru Cina dalam satu majlis di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Kijal, di Kemaman, kelmarin.

Mereka yang terdiri daripada kalangan keluarga miskin, warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal masing-masing menerima RM200 dan RM300.

Sumbangan kerajaan negeri keseluruhannya berjumlah lebih RM500,000 itu yang merupakan tradisi tahunan, disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Ia bagi memberikan lebih keceriaan kepada mereka dalam mengatur persiapan menyambut hari kebesaran.

Mereka adalah sebahagian daripada 8,551 rakyat berketurunan Cina di Terengganu yang disenaraikan bagi pemberian itu dengan sejumlah RM2.4 juta peruntukan.

Menteri Besar ketika berucap pada majlis itu berkata, kerajaan negeri sentiasa menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada setiap penduduk yang layak tanpa mengira kaum ataupun fahaman politik mereka.


Katanya, banyak kemudahan dan bantuan disediakan bagi mereka yang benar-benar memerlukan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

"Warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan golongan miskin perlulah mendaftarkan diri dengan pejabat khidmat DUN masing-masing agar mereka dapat menikmati bantuan yang disediakan kerajaan ini," katanya.

Seorang warga emas dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ang Ching Wong, 65, yang menerima sumbangan itu berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan mereka.

"Setiap tahun saya terima duit raya dan ia dapat membantu saya untuk menyediakan pelbagai kelengkapan untuk menyambut Tahun Baru Cina dalam suasana yang meriah seperti orang lain juga," katanya.

Seorang ibu tunggal, Chung Wah, 74, dari DUN Cukai berkata, dia gembira kerana mempunyai lebih wang untuk berbelanja dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.
"Kami gembira kerana hari ini Menteri Besar sendiri turun padang untuk bertemu dan membantu kami," katanya.


TERENGGANU HARI INI


berita penuh

Wednesday, January 12, 2011

Tebatan Banjir Selesai Masalah

Kerajaan Negeri akan melaksanakan beberapa lagi projek tebatan banjir seperti yang dilaksanakan di Taman Desa Pusu Tiga selepas projek perintis itu menunjukkan petanda positif, walaupun belum siap sepenuhnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, projek tebatan banjir yang pertama kali diperkenalkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu membabitkan kos sebanyak RM5.6 juta dengan keluasan 825 meter bagi penyediaan dua pam air, benteng serta rumah pam.

“Saya bersyukur kerana walaupun projek (tebatan banjir) belum siap sepenuhnya, tetapi hasil perancangan Kerajaan Negeri, JPS dan wakil rakyat akhirnya mampu menyelesaikan masalah banjir.
Gambar Hiasan
“Kesusahan penduduk di sini yang terpaksa berpindah selama sebulan berikutan rumah mereka ditakungi air akhirnya selesai,” katanya.

Ahmad berkata, beliau melihat konsep baru iaitu tebatan banjir di kawasan yang ditakungi air di Taman Desa Pusu Tiga menunjukkan kejayaan.

“Saya juga bercadang membuat konsep yang sama di beberapa tempat yang berhadapan dengan masalah banjir akibat air bertakung,” katanya ketika melawat Tapak Projek Tebatan Banjir Taman Desa Pusu Tiga, Gong Badak, semalam.

Ahmad ketika ditemui, turut menyifatkan kelicinan proses pembinaan tebatan banjir dan impak positif itu turut mengakui bahawa ia adalah bukti Kerajaan Negeri menunaikan segala janji yang dibuat kepada rakyat sebelum ini dan bukan menunggu pilihan raya semata-mata.

Katanya, alternatif pembinaan tebatan banjir untuk mengelak berlakunya banjir akan turut dilaksanakan di Taman Rakyat, Gong Pasir, Dungun, yang turut mengalami masalah sama dan tender projek akan dikeluarkan Februari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kos sebenar projek berkenaan, sebaliknya mengakui ia akan membabitkan kos ang agak tinggi berdasarkan jumlah rakyat ramai dan kawasan yang lebih besar berbanding Taman Desa Pusu Tiga.

Dalam perkembangan sama, Ahmad turut menjelaskan JPS sedang membuat kajian di sebuah lagi kawasan perumahan berdekatan iaitu di Perumahan Kampung Baruh Tok Jiring yang berhadapan masalah sama.

Hadir sama sempena lawatan tapak projek itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Mat Hussin Ghani.

Sumber: Sinar Harian

TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Pembedahan Nurul Ditanggung Oleh Kerajaan Negeri

Beginilah keadaan Nurul Dahyatul Fazlinda selepas pembedahan

Kerajaan Negeri menanggung semua kos pembedahan dan rawatan kanak-kanak mangsa simbahan asid oleh bapa sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata demikian kelmarin selepas melawat kanak-kanak itu di Wad Unit Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Nurul dijangka boleh kembali ke sekolah dalam tempoh dua minggu lagi, selepas pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan memulihkan parut di wajahnya.

Dia yang ditemui berkata dia gembira kerana selamat menjalani pembedahan pertama itu dan berharap dapat cepat kembali ke sekolah kerana sudah mula merindui rakan sekelasnya yang disifatkannya baik dan tidak memandang rendah dirinya yang cacat di muka.

Pakar Perunding Pembedahan Plastik HSNZ, Dr Najiha Syarida Zakaria, berkata murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Setar, Kuala Berang itu yang selamat menjalani pembedahan pertama, kelmarin, perlu menjalani pembedahan kedua dalam tempoh enam bulan lagi.

Beliau berkata, dia perlu mematuhi arahan doktor, termasuk memakai topeng khas yang dibekalkan pihak hospital bagi mempercepatkan proses memperkemaskan parut tebal di wajahnya.

"Walaupun Lin menjalani pembedahan mengurangkan parut di mukanya, kesan parut itu tetap akan ada dan kekal di wajahnya dengan pembedahan cuma mengurangkan serta memperkemaskan kesan itu.

“Dia akan menjalani pembedahan peringkat kedua sekurang-kurangnya dalam
tempoh enam bulan lagi, selepas pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan pertama.

Dia perlu menjalani beberapa pembedahan lagi,” katanya.Nurul melalui pembedahan selama tiga jam kelmarin yang diketuai olehnya dengan bantuan lima doktor lain.

Kanak-kanak berkenaan serta ahli keluarganya lain yang turut tercedera dalam kejadian malang pada 15 Ogos lalu.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29; adiknya, Muhammad Irfan firdaus, 3 dan neneknya, Minah Omar, 56.

TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Sunday, January 9, 2011

Kedai Keropok 007 Ranap Dihempap Pokok

Bahana ribut, kedai keropok terkenal iaitu ‘Warung Keropok 007’ di Kuala Ibai, ranap setelah ditimpa pohon rhu yang berusia lebih 20 tahun, dalam satu kejadian ribut awal pagi semalam.

Menurut pengusahanya, Ann Izawati Hamzah, 41, kejadian tersebut hanya disedari kira-kira jam enam pagi oleh pekerjanya, Zalini Zakaria, 28, yang kebetulan lalu di hadapan kedai itu.

Zalini lantas menghubungi Ann Izawati yang kemudiannya bergegas ke kedai keropok berkenaan dan mendapati lebih 50 peratus daripada struktur kedainya serta bara-ngan rosak akibat hentakan kuat akibat ditimpa pokok besar itu.

Gambar kedai sebelum dihempap pokok

“Saya terkejut dan tidak mampu berkata apa-apa. Memang semalam saya menyedari ribut kuat namun tidak sangka kejadian sebegini berlaku.

“Memang sedih sebab kedai ini adalah mata pencarian saya sejak sekian lama. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya akan lihat dulu dan berbincang dengan keluarga sebelum meneruskan rancangan seterusnya,” katanya.

Menurut Ann Izawati, dia bersyukur kerana tiada siapa yang tercedera kerana kebiasannya, dia membuka kedai keropoknya itu seawal jam 6.45 pagi setiap hari.

“Saya sudah berniaga keropok lekor sejak 15 tahun yang lalu tetapi kedai ini baru sahaja enam tahun dibina. Saya anggarkan kerugian yang dialami adalah sebanyak RM40,000, termasuk peralatan di kedai saya,” katanya.

Gambar kedai selepas dihempap pokok


TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Thursday, January 6, 2011

Hulu Terengganu Banjir

KUALA TERENGGANU - Seramai 338 penduduk daripada 84 keluarga di empat buah kampung di Hulu Terengganu kini sudah mula berpindah sejak tengah hari semalam akibat banjir, setelah hujan sejak beberapa hari lalu.


Setakat ini, empat pusat pemindahan telah dibuka, iaitu di Balai raya Kampung Cheting, Balai raya Kampung Peneh, Balai raya Kuala Menjing serta Balai raya dan Masjid Kampung Sekayu.

Paras sungai di dua kawasan di Sungai Besut dan Dungun kini juga sudah melepasi paras bahaya, manakala empat buah sungai di Sungai Kuala Terengganu dan Setiu kini melepasi paras amaran.

Mengikut Kenyataan Banjir Negeri Terengganu di www.terengganu.gov.my, stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu di Stesen Sungai Besut di Kampung La kini melepasi paras bahaya, iaitu 19.28 meter, berbanding paras bahaya iaitu 19.2 meter.


Stesen JPS Sungai Dungun di Kuala Jengai juga turut melepasi paras bahaya iaitu mencatatkan bacaan 20.34 meter, berbanding paras bahaya iaitu 19.80 meter.


Manakala Stesen JPS Sungai Besut di Jambatan Keruak kini sudah melepasi paras amaran, iaitu 34.60 meter, berbanding paras amaran iaitu 33 meter dan Stesen JPS Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja juga melepasi paras amaran, iaitu mencatatkan bacaan 35.62 meter berbanding 35.50 meter.

Gambar Hiasan

Stesen JPS Sungai Berang di Kampung Menerong turut melepasi paras amaran, iaitu 25.21 meter, berbanding 24.50 meter dan Stesen JPS Sungai Setiu di Kampung Besut turut melepasi paras amaran, iaitu 17.26 meter, berbanding 16.40 meter.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia semalam mengeluarkan nasihat hujan lebat dan ribut petir peringkat kuning di beberapa kawasan di Terengganu.

Menurut kenyataan itu, hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman mulai pagi Rabu, 5 Januari sehingga malam Sabtu, 8 Januari.

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berdekatan tebing sungai.

Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua juga dikeluarkan, dengan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Kelantan dan Terengganu, dijangka berterusan sehingga Rabu, 12 Januari.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

sumber: Sinar Harian

TERENGGANU HARI INI

berita penuh