Wednesday, April 28, 2010

Sedia tempat untuk burung layang-layang

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menunjukkan Bandar `Guangzhou' yang bakal menjadi destinasi penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke China. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Menyedari sarang burung layang-layang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negara, beberapa tindakan drastik dilaksanakan kerajaan negeri termasuk menyediakan tapak seluas 50 hektar di Kampung Telaga Papan, Setiu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, peluang itu sewajarnya direbut berikutan harga sarang burung jenis itu semakin meningkat setiap tahun hingga mencecah RM7,000 sekilogram.

Katanya, kerajaan negeri serius mengusahakannya dengan melaksanakan beberapa pendekatan termasuk menyediakan tapak khas dan mempromosi produk sedia ada ke luar negara.

“Industri ini bakal diberi peluang kepada golongan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) sebagai menambah pendapatan keluarga dan seterusnya keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Guangzhou, China, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, hari ini (18 April).

Turut menyertai lawatan kerja selama lima hari bermula hari ini, seramai 166 individu termasuk isteri Menteri Besar To’ Puan Norliza Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Encik Toh Chin Yaw dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.


Menteri Besar mengadakan sidang media sebelum bertolak ke China bersama rombongan.

Selain itu, beberapa pegawai kanan kerajaan dan usahawan tempatan turut berminat mengikuti rombongan yang bertujuan menengahkan idea baru berkaitan perniagaan di pasaran tempatan dan mempromosi pelbagai produk Terengganu.

Dato’ Ahmad memberitahu lawatan ke China bukanlah kali pertama diadakan kerajaan Terengganu, namun kelainan lawatan pada kali ini adalah di bawah inisiatif pihak swasta, untuk menyewa khas kapal terbang dari LTSM terus ke Guangzhou, China.

Katanya, memandangkan kerajaan negeri telah mempunyai lapangan terbang dilengkapi pelbagai kemudahan canggih, rugi sekiranya kemudahan ini tidak digunapakai sebaik mungkin.

“Pihaknya mengakui selepas pengubahsuaian, LTSM tidak dimanfaat sepenuhnya kecuali untuk penerbangan haji ke Jeddah dan lawatan ke Singapura. Sebagai langkah tambahan, penerbangan terus ke Guangzhou turut diperkenalkan.

“Penerbangan yang dilaksanakan secara sewaan khas ini diharapkan menjadi titik mula dalam industri penerbangan dengan mengkaji kemungkinan akan menjadikan LTSM sebagai satu daripada pintu masuk ke Malaysia dari China dan negara Asia pada masa depan,” katanya.


TERENGGANU HARI INI

No comments:

Post a Comment