Oleh : AIDA ABD RAHMAN
Pulau dan pantai di sekitar Terengganu bukan hanya menjadi tumpuan pelancong sebagai lokasi untuk beriadah dan berekreasi bersama keluarga, malah juga menjadi pusat penganjuran acara sukan ekstrem bertaraf dunia.
Kapas-Marang International Swimathon 2010 umpamanya, bukan lagi asing bagi peminat sukan renang dari dalam dan juga luar negara sebagai sukan pelancongan yang menjanjikan hadiah wang tunai lumayan dan juga mampu menjadi platform mendekati budaya serta tradisi masyarakat Marang.
Penamat kejohanan buat julung kalinya menyaksikan anak muda dari Perak, Kevin Yeap Soon Chey, 23, mengungguli juara keseluruhan kategori lelaki selepas berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, Marang dengan catatan masa satu jam 33 minit dan 33 saat.
Kevin selaku pemenang pingat emas acara 1500 meter gaya bebas pada Sukan SEA Laos tahun lalu yang pertama kali menyertai kejohanan itu menyifatkan perlumbaan yang disertainya amat mencabar kerana terpaksa berdepan dengan ombak yang besar.
Selain stamina dan mental yang kuat, dia juga menaruh keyakinan yang tinggi untuk memenangi acara itu walaupun mendapat saingan sengit daripada pencabar di tempat kedua, Nor Mohd Ibrahim bagi kategori lelaki (20-34 tahun)
Kevin berupaya menjarakkan diri dengan perbezaan 12 minit sahaja dengan Nor. Kejayaannya itu turut menjadi catatan masa terbaik dan rekod bagi keseluruhan sekaligus dinobatkan sebagai pemenang utama kejohanan.
"Penyertaan saya dalam sukan ekstrim ini adalah pertama kali dan cabarannya pasti hebat kerana terpaksa berdepan dengan arus yang kuat dan ombak yang besar," katanya yang bakal membawa cabaran negara pada temasya Sukan Komanwel di India hujung tahun ini.
Manakala tempat kedua, Nur Adli Safwan Sariman (satu jam 33 minit 34 saat) yang juga juara bagi kategori lelaki (junior terbuka) (12-19 tahun). Tempat ketiga keseluruhan pula menjadi milik Andrew Tebbutt dari United Kingdom yang berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan satu jam 34 minit 23 saat. Andrew merupakan juara bagi kategori lelaki 35-49 tahun.
Pemenang keseluruhan wanita turut dimenangi perenang negara, Leong Chii Lin, dari Sabah yang beraksi dalam acara 50 dan 100 meter gaya bebas dalam skuad renang kebangsaan.
Chii Lin berjaya menewaskan dua pencabar utamanya, Lai Mei Juan dan seorang lagi perenang negara, Khoo Chai Lin dengan catatan masa satu jam 33 minit dan 35 saat diikuti Mei Juan (1:37.13s) dan Chai Lin yang merekodkan masa 1:38.58s.
"Berenang di kolam biasa dengan berenang di lautan memang banyak perbezaan. Kami terpaksa melalui perjalanan yang jauh dan lebih perit lagi apabila mata saya kerap sakit kerana dimasuki air masin," katanya.
Chii Lin yang membantu kuartet negara meraih gangsa dalam acara 4x200m gaya bebas pada Sukan SEA Laos turut mengungguli kategori remaja wanita (12-19 tahun).
Hadiah bagi pemenang utama disampaikan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Encik Nik Dir Nik Wan Ku, di Pusat Peranginan Kelulut, Seberang Marang, hari ini (18 April).
Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, A Rahman Che Ali dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.
Pada kali ini, seramai 300 peserta dari Malaysia, Australia, Canada, Denmark, Jerman Indonesia, Netherlands, Jepun, Singapura, Sepanyol, United Kingdom dan Vietnam.
TERENGGANU HARI INI
No comments:
Post a Comment