Wednesday, April 28, 2010

TATiUC-At Tatweer Jordan Jalin Kerjasama Teknikal

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kolej Universiti TATi (TATiUC) bakal menjalinkan kerjasama bagi menyediakan latihan teknikal di bidang teknologi pembuatan dan elektronik dengan sebuah institusi latihan di Arab, Al Tatweer Jordan.


Pengerusi Jawatankuasa pelajaran, pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Rektor Dr Mohd Rozailan Bin Mamat @ Ibrahim menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua pihak pada 15 April lalu di Amman, Jordan.

Manakala Al Tatweer diwakili oleh Pengarahnya Eng. Hashim Al-Majali dan Andelrazzak M Faouri.

MoU ini merupakan satu pengiktirafan antarabangsa dan langkah penting bagi TATiUC untuk berkembang di luar negara.

TATiUC bersetuju menyediakan kokurikulum dan tenaga pengajar kepada Al Tatweer yang akan menawarkan latihan berbentuk teknikal di Jordan dan dijangka 300 pelajar akan dilatih setiap tahun.

Selain itu, TATiUC juga mengadakan perbincangan dengan pengerusi Al Tatweer, Yang Teramat Mulia Putera Asem Bin Nayef.

Beliau berharap kerjasama ini akan memberi peluang kepada pelajar Jordan dan negara Arab lain untuk mendalami bidang teknologi pembuatan dan elektronik yang semakin berkembang di Jordan.

Sementara itu, Haji Ahmad Razif yang juga Pengerusi TATiUC, berkata mengucapkan terima kasih kepada Al Tatweer kerana memberi kepercayaan kepada TATiUC untuk berkerjasama dalam menyediakan latihan kepada pelajar Jordan.

“Pengalaman TATiUC yang telah terlibat dalam latihan teknikal selama 17 tahun diharapkan dapat dikongsi sama oleh pihak Al Tatweer.

“Program latihan ini akan memberi kebaikan kepada Malaysia dan Jordan, sekaligus menjadikan hubungan antara kedua-dua negara semakin erat dan kukuh,” katanya.

Beliau juga berharap kerjasama ini akan menjadi langkah awal untuk mempromosikan Terengganu kepada penduduk Jordan dan negara Arab yang lain.


TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Kapas-Marang Medan Sukan Pelancongan Ekstrim

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Pulau dan pantai di sekitar Terengganu bukan hanya menjadi tumpuan pelancong sebagai lokasi untuk beriadah dan berekreasi bersama keluarga, malah juga menjadi pusat penganjuran acara sukan ekstrem bertaraf dunia.

Kapas-Marang International Swimathon 2010 umpamanya, bukan lagi asing bagi peminat sukan renang dari dalam dan juga luar negara sebagai sukan pelancongan yang menjanjikan hadiah wang tunai lumayan dan juga mampu menjadi platform mendekati budaya serta tradisi masyarakat Marang.




Penamat kejohanan buat julung kalinya menyaksikan anak muda dari Perak, Kevin Yeap Soon Chey, 23, mengungguli juara keseluruhan kategori lelaki selepas berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, Marang dengan catatan masa satu jam 33 minit dan 33 saat.

Kevin selaku pemenang pingat emas acara 1500 meter gaya bebas pada Sukan SEA Laos tahun lalu yang pertama kali menyertai kejohanan itu menyifatkan perlumbaan yang disertainya amat mencabar kerana terpaksa berdepan dengan ombak yang besar.

Selain stamina dan mental yang kuat, dia juga menaruh keyakinan yang tinggi untuk memenangi acara itu walaupun mendapat saingan sengit daripada pencabar di tempat kedua, Nor Mohd Ibrahim bagi kategori lelaki (20-34 tahun)

Kevin berupaya menjarakkan diri dengan perbezaan 12 minit sahaja dengan Nor. Kejayaannya itu turut menjadi catatan masa terbaik dan rekod bagi keseluruhan sekaligus dinobatkan sebagai pemenang utama kejohanan.

"Penyertaan saya dalam sukan ekstrim ini adalah pertama kali dan cabarannya pasti hebat kerana terpaksa berdepan dengan arus yang kuat dan ombak yang besar," katanya yang bakal membawa cabaran negara pada temasya Sukan Komanwel di India hujung tahun ini.
Manakala tempat kedua, Nur Adli Safwan Sariman (satu jam 33 minit 34 saat) yang juga juara bagi kategori lelaki (junior terbuka) (12-19 tahun). Tempat ketiga keseluruhan pula menjadi milik Andrew Tebbutt dari United Kingdom yang berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan satu jam 34 minit 23 saat. Andrew merupakan juara bagi kategori lelaki 35-49 tahun.

Pemenang keseluruhan wanita turut dimenangi perenang negara, Leong Chii Lin, dari Sabah yang beraksi dalam acara 50 dan 100 meter gaya bebas dalam skuad renang kebangsaan.

Chii Lin berjaya menewaskan dua pencabar utamanya, Lai Mei Juan dan seorang lagi perenang negara, Khoo Chai Lin dengan catatan masa satu jam 33 minit dan 35 saat diikuti Mei Juan (1:37.13s) dan Chai Lin yang merekodkan masa 1:38.58s.

"Berenang di kolam biasa dengan berenang di lautan memang banyak perbezaan. Kami terpaksa melalui perjalanan yang jauh dan lebih perit lagi apabila mata saya kerap sakit kerana dimasuki air masin," katanya.

Chii Lin yang membantu kuartet negara meraih gangsa dalam acara 4x200m gaya bebas pada Sukan SEA Laos turut mengungguli kategori remaja wanita (12-19 tahun).
Hadiah bagi pemenang utama disampaikan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Encik Nik Dir Nik Wan Ku, di Pusat Peranginan Kelulut, Seberang Marang, hari ini (18 April).

Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, A Rahman Che Ali dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Pada kali ini, seramai 300 peserta dari Malaysia, Australia, Canada, Denmark, Jerman Indonesia, Netherlands, Jepun, Singapura, Sepanyol, United Kingdom dan Vietnam.

TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Sedia tempat untuk burung layang-layang

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menunjukkan Bandar `Guangzhou' yang bakal menjadi destinasi penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke China. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Menyedari sarang burung layang-layang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negara, beberapa tindakan drastik dilaksanakan kerajaan negeri termasuk menyediakan tapak seluas 50 hektar di Kampung Telaga Papan, Setiu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, peluang itu sewajarnya direbut berikutan harga sarang burung jenis itu semakin meningkat setiap tahun hingga mencecah RM7,000 sekilogram.

Katanya, kerajaan negeri serius mengusahakannya dengan melaksanakan beberapa pendekatan termasuk menyediakan tapak khas dan mempromosi produk sedia ada ke luar negara.

“Industri ini bakal diberi peluang kepada golongan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) sebagai menambah pendapatan keluarga dan seterusnya keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Guangzhou, China, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, hari ini (18 April).

Turut menyertai lawatan kerja selama lima hari bermula hari ini, seramai 166 individu termasuk isteri Menteri Besar To’ Puan Norliza Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Encik Toh Chin Yaw dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.


Menteri Besar mengadakan sidang media sebelum bertolak ke China bersama rombongan.

Selain itu, beberapa pegawai kanan kerajaan dan usahawan tempatan turut berminat mengikuti rombongan yang bertujuan menengahkan idea baru berkaitan perniagaan di pasaran tempatan dan mempromosi pelbagai produk Terengganu.

Dato’ Ahmad memberitahu lawatan ke China bukanlah kali pertama diadakan kerajaan Terengganu, namun kelainan lawatan pada kali ini adalah di bawah inisiatif pihak swasta, untuk menyewa khas kapal terbang dari LTSM terus ke Guangzhou, China.

Katanya, memandangkan kerajaan negeri telah mempunyai lapangan terbang dilengkapi pelbagai kemudahan canggih, rugi sekiranya kemudahan ini tidak digunapakai sebaik mungkin.

“Pihaknya mengakui selepas pengubahsuaian, LTSM tidak dimanfaat sepenuhnya kecuali untuk penerbangan haji ke Jeddah dan lawatan ke Singapura. Sebagai langkah tambahan, penerbangan terus ke Guangzhou turut diperkenalkan.

“Penerbangan yang dilaksanakan secara sewaan khas ini diharapkan menjadi titik mula dalam industri penerbangan dengan mengkaji kemungkinan akan menjadikan LTSM sebagai satu daripada pintu masuk ke Malaysia dari China dan negara Asia pada masa depan,” katanya.


TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Terengganu Model Penganjur Sukma Terbaik

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan Terengganu berharap Melaka mampu menjadi penganjur Sukan Malaysia (Sukma) yang terbaik, sebagaimana Terengganu ketika menganjurkan Sukma 2008 lalu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad said, berkata bagi kerajaan negeri, Sukma Ke-12 Terengganu 2008 banyak meninggalkan nostalgia kerana ianya merupakan tahun kejayaan berganda bagi Terengganu.


Datuk Seri Ali Rustam (kiri) menyerahkan surat jemputan SUKMA 2010 kepada Dato' Ahmad Said sempena promosi SUKMA di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


“Kejayaan menjadi penganjur terbaik sehingga telah diberi pengiktirafan di Dewan Rakyat oleh YAB Perdana Menteri sendiri.

“Terengganu juga berjaya muncul sebagai juara keseluruhan dengan memenangi 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa, di mana kutipan tersebut merupakan 15.02% emas, 9.73% perak dan 9.31% gangsa daripada keseluruhan pingat yang ditawarkan,” kata Dato’ Ahmad ketika berucap di Majlis Karnival Sukma ke-13 Melaka 2010, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, hari ini (27 April).

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Katanya, kejayaan itu meletakkan Terengganu sebagai kuasa baru dalam sukan dan berada dalam tiga negeri yang berjaya menjadi juara ketika menjadi tuan rumah, selain Selangor dan Sarawak.

Beliau berkata, sebanyak 24 rekod baru kejohanan Sukma dan empat rekod baru Kebangsaan berjaya dicipta menerusi lima jenis sukan iaitu angkat berat, berbasikal, kanu, renang dan olahraga.

Dato’ Ahmad berkata, atlit Terengganu sendiri telah berjaya memperbaharui 13 rekod kejohanan dan satu rekod kebangsaan melalui lima sukan berkenaan iaitu angkat berat (1 rekod Sukma), berbasikal (5 rekod) sukma), kanu (5 rekod Sukma dan 1 rekod Kebangsaan), renang (1 rekod Sukma) dan olahraga (1 rekod Sukma)

“Kita berbangga kerana sepanjang kejohanan berlangsung tiada sebarang protes atau aduan. Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Jawatankuasa Juri Rayuan tidak perlu bersidang walaupun sekali.

“Pingat-pingat yang dimenangi adalah melalui sukan-sukan ‘measurable sports’ dan bukannya sukan-sukan yang subjektif,” katanya.


Ketua Menteri Melaka menunjukkan baju yang dipakai oleh kontijen Terengganu kepada Menteri Besar Terengganu.

Malah, penyaluran keputusan pertandingan juga paling efisien dan bersistem, selain cakera padat turut dibekalkan kepada ketua kontinjen pada hari terakhir Sukma ke-12.

Katanya, kemudahan itu bagi memastikan jurulatih dan kontinjen dapat membuat penilaian penuh kepada atlit masing-masing secara analatikal dengan hasrat melalui penilaian terperinci mutu Sukma dapat ditingkatkan.

“Kita juga berbangga kerana sepanjang temasya aspek pengangkutan yang kita beri perhatian yang tinggi akhirnya memberi perkhidmatan yang efisien dan melancarkan perjalanan pertandingan keseluruhan.

“Kerajaan negeri juga berkeyakinan penuh Melaka mampu menjadi penganjur terbaik nanti, di mana dibuktikan dengan promosi Kempen Karnival Sukan Malaysia Ke-13 yang diadakan secara besar-besar di luar negeri Melaka sendiri seperti yang diadakan di Terengganu hari ini,” kata beliau lagi.

Menurut Dato’ Ahmad, mana-mana negeri tuan rumah Sukma tidak pernah mengadakan promosi sebegini di luar negeri masing-masing yang mana ini telah menunjukkan kemampuan Melaka dalam usaha menjadi penganjur yang berjaya bukan sahaja dari segi pengelolaan dan pencapaian, bahkan meningkatkan industri pelancongan.

Dato' Ahmad menampal pelekat SUKMA XIII pada kereta rasminya sambil dibantu Datuk Seri Ali Rustam.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menjelaskan Kerajaan Melaka sudah bersiap sedia seratus peratus memelibatkan 33 venue yang kini sedang dibersihkan dan dikemaskini, selain sistem pengurusan yang berjalan baik.

“Sekarang kita sedang menguji sistem pentadbiran kerana venue terlalu banyak melibatkan 33 jadi kita mahu setiap tempat cekap jadi dipasang semua tempat dengan sistem komputer,” katanya.

Katanya, Kerajaan Melaka juga menyokong penuh keputusan Kementerian Belia dan Sukan supaya Sukma diadakan setiap tahun bagi melahirkan atlit sukan yang dinamik dan mampu mengulangi kejayaan pada setiap tahun.

Datuk Seri Mohd Ali juga memuji persiapan kontinjen Terengganu dan tidak menolak kehebatan Terengganu dalam acara kanu yang menghasilkan 14 emas pada Sukma Ke-12 lalu dan pastinya bakal mencabar tuan rumah, Melaka yang mensasarkan 60 pingat emas pada Sukma nanti.

Katanya, melaka juga mencipta kegemilangan dan rekod tersendiri apabila bekKemampuan menganjurkan jumlah sukan terbanyak dalam sejarah Sukma iaitu 33 jenis sukan termasuk sukan ekuestrian dan kanu.
Perasmian Karnival SUKMA ke-13 Melaka 2010 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Selain itu, jumlah acara yang terbanyak bakal dipertandingkan iaitu sebanyak 434 acara yang menawarkan 434 pingat emas, 434 perak dan 542 gangsa.

Untuk rekod, Terengganu bakal menghantar 650 orang peserta melibatkan 460 atlit, 78 jurulatih, 32 pengurus pasukan dan 80 orang urusetia serta merupakan kontinjen terbesar yang pernah dihantar dalam temasya Sukma setakat ini.

Sebanyak 32 daripada 33 sukan akan disertai oleh atlit Terengganu.

TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Wednesday, April 14, 2010

Sidang Dewan Undangan Negeri ke-12 (Hari Keempat)


Menteri Besar berbincang sesuatu dengan ahli DUN termasuk Speaker DUN ketika sesi rehat pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Generasi Kedua Felda Tidak Dipinggir

Kerajaan negeri tidak pernah melupakan nasib generasi kedua Felda yang tidak mempunyai tempat tinggal sebaliknya berusaha menyediakan kawasan perumahan kepada mereka yang memerlukan kediaman.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, beberapa kawasan dikenalpasti ialah bagi pembinaan rumah untuk generasi Felda ialah di Jabor, Perasing, Kemaman.


“Penempatan ini akan disi oleh anak peneroka dari Felda Neram Satu hingga Empat dan Felda Cherol Satu hingga Tiga,” katanya ketika menjawab soalan Mohd. Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) di Sidang Dewan Undangan Negeri yang masuk hari keempat hari ini (8 April).


Keakraban ditunjukkan Dato' Ahmad Said (Wakil Kijal), Dato' Seri Idris Jusoh (Wakil Jerteh) dan Wahid Endut (Wakil Wakaf Mempelam).

Dato’ Ahmad memberi jaminan, kerajaan sentiasa melihat dari semasa ke semasa dan sedia memberi kerjasama kepada pengurusan Felda untuk membuka penempatan baru kepada generasi kedua Felda.

Beliau turut memaklumkan sehingga ini terdapat 48, 594 hektar tanah telah diluluskan kepada pihak Felda seluruh negeri untuk dimajukan dan sejak 1990 hingga 2010 tiada lagi kemasukan peneroka baru Felda.

Menjawab soalan tambahan daripada wakil Pas Wakaf Mempelam mengenai masalah yang timbul di rancangan tanah Felda, Dato’ Ahmad berkata kerajaan mempunyai perancangan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit.


Tiga wakil rakyat BN berbincang sesuatu pada hari terakhir Persindangan Dewan Undangan Negeri.

Namun begitu, Dato’ Ahmad melahirkan rasa tidak senang kerana ketika peneroka Felda menerima hasil merosot akibat kejatuhan harga getah dan kelapa sawit pemimpin pembangkang datang menghasut peneroka supaya membenci kerajaan sebaliknya ketika peneroka dapat hasil lumayan pemimpin pembangkang berdiam diri.

Beliau seterusnya meminta pemimpin pembangkang turut sama membimbing generasi Felda supaya tidak terlibat dengan gejala sosial dan tidak sekadar masuk ke Felda menghasut peneroka tentang keburukan kerajaan untuk meraih undi.

Ketika menjawab soalan tambahan wakil Pas Ladang, Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar, Menteri Besar memberitahu masih terdapat 15,132.87 hektar tanah yang dimajukan oleh Felda tidak dimasukkan peneroka.

“Dalam keadaan sama terdapat 2,840 hektar tanah kerajaan lagi yang diserahkan kepada Felda tetapi belum dimajukan oleh agensi itu,” katanya.

Justeru itu katanya, kerajaan telah mengadakan dua kali rundingan dengan pihak Felda dan meminta supaya dimasukkan peneroka di mana ianya akan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 golongan miskin tegar di negeri ini.


Berehat sebentar sambil bertegur sapa sebelum menyambung semula Persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Dua syarat diberi kepada Felda iaitu masuk peneroka baru dan bayar premium kepada kerajaan negeri kerana Terengganu adalah satu-satunya negeri di negara ini yang tidak pernah menerima premium daripada Felda setelah menolak pemberian Felda sebanyak RM45 juta ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Dato’ Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar,” katanya.

Katanya, berpegang kepada penjanjian asal dengan pihak pengurusan Felda untuk memasukkan peneroka serta beri jumlah tertentu dari keuntungan Felda kepada kerajaan negeri namun masih belum ada penyelesaian sehingga ini.

Lesen Balak Dibekukan

Kerajaan negeri memutuskan supaya tiada sebarang lesen penebangan balak akan dikeluarkan kepada mana-mana individu bermula 1 Jun depan, bertujuan mengelak pelbagai kemungkinan berlaku termasuk hakisan teruk dan pencemaran alam.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, tindakan itu adalah wajar kerana kebanyakan mereka yang memohon lesen penebangan tidak menepati syarat dan hanya untuk kepentingan diri sendiri.

“Untuk keadilan, kerajaan negeri akan menawarkan tender kepada mana-mana syarikat yang berminat dengan mengenakan syarat tertentu termasuk mempunyai kepakaran dan kilang kayu sendiri.

“Langkah itu, tidak mendatangkan sebarang kerugian kepada kerajaan sebaliknya dapat mengurusnya secara terancang,” katanya ketika sesi pergulungan Sidang Dewan Undangan (DUN), hari ini (8 Mac).

Dato’ Ahmad berkata, dia menolak dakwaan Dato’ Rosol Wahid (BN-Ajil) yang menyatakan terlalu banyak kawasan balak diteroka dalam masa terdekat ini sehingga berlakunya lambakan balak dan tiada pasaran untuk tujuan itu.


Tiga wakil rakyat mungkin berbincang mengenai hak rakyat walaupun mereka berlainan parti.

Berdasarkan rekod yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT), seluas 33,916 hektar tanah diluluskan untuk penebangan balak pada 2003; 15,698 hektar (2004); 13,369 hektar (2005); 12,406 hektar (2006); 14,424 hektar (2007); 8,650 (2008); 6,794 (2009) dan hanya seluas 2,845 hingga Mac 2010.

Menurutnya, Pusat Pelupusan Sampah di Kubang Ikan akan dipindahkan Kampung Tok Poh, Kuala Terengganu dalam masa terdekat. Kerja-kerja mengukur tanah yang membabitkan kawasan seluas 35 hektar pun selesai dijalankan.

“Selepas selesai urusan itu, kemudahan infrastruktur lain di kawasan Dewan Undangan Negeri, Tepoh akan dibangunkan berikutan kerajaan negeri sudah membuat permohonan di bawah RMK 10 berjumlah RM10 juta,” katanya yang menjawab soalan YB Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh.





TERENGGANU HARI INI



berita penuh

Tuesday, April 6, 2010

Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-12 (hari kedua)

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad Said (kiri) sempat berbual dengan YB Rosol Wahid dan juga pegawai kerajaan ketika sesi rehat Sidang Dewan Undangan Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Rangka Program Untuk Belia:

KERAJAAN Negeri merangka pelbagai program yang sesuai dengan minat golongan belia tempatan bagi mengurangkan gejala sosial secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pihaknya mula serius merancang aktiviti sejak 1994, termasuk mewujudkan program Rakan Muda; Kelab Reka Cipta Reakreasi dan Sukan, Wira Usaha, Rakan Muda Mahir dan Kecerdasan.


Beliau berkata, mulai tahun lepas, kerajaan negeri turut menganjurkan kursus Dana Remaja selama tiga hari dua malam yang mensasarkan 20 peratus daripada jumlah penerima bakti remaja setiap tahun.


Orang ramai memenuhi tempat duduk tingkat atas Dewan Undangan Negeri sebagai pemerhati bagi melihat lebih dekat perjalanan persidangan.

“Untuk pembangunan modal insan, kerajaan negeri akan berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mewujudkan program Mat Rempit Sifar dan Kelab Motor pada bulan Jun nanti.

“Program menjangkakan kehadiran 40,000 remaja dari seluruh negeri itu bakal dirasmikan Perdana Menteri,” katanya ketika menjawab soalan Haji Nawi Mohamad (BN- Hulu Besut)

Katanya, penubuhan Kelab Motor Daerah sedang berjalan dan kerajaan negeri mengharapkan golongan muda ini akan sentiasa bersama kerajaan untuk menjayakan program itu dari masa ke semasa.

“Program Saya Anak Terengganu akan dilancarkan untuk mempastikan rakyat di negeri ini terutama belia dan beliawanis berminat menyertai persatuan dan kursus tertentu.

“Program inter-generasi yang melibatkan kaum lain juga turut dianjurkan di setiap daerah bagi mewujudkan kerjasama, sikap tolenrasi dan elak sikap perkauman,” katanya.

Datuk Rahin berkata, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) turut berminat menganjurkan program berilmu dengan memberi penekanan khas kepada jiwa dan rohani seseorang individu termasuk program taklif , ingat sebelum kena serta program kecemerlangan dan jati diri belia.

Pihaknya menjangkakan peruntukan RM30 juta untuk mewujudkan program khas semata-mata ingin menarik minat belia untuk menyertai persatuan.

“Melaluinya, kerajaan akan menawarkan insentif tertentu kepada golongan berkenaan termasuk mengagihkan topi keledar, jaket keselamatan dan pelbagai peralatan yang berkaitan.

“Mengharapkan bahawa penubuhan kelab motor di setiap daerah ini dapat menambah ahli persatuan yang sedia ada, pada masa sama, kita akan cuba untuk mendekati mereka mengikut daerah sebagai langkah membimbing dan mengetahui masalah,” katanya menjawab soalan tambahan YB Encik Ramlan Ali (BN-Jabi).



Pembangkang Perlu Sokong Pembangunan Kerajaan:

WAKIL rakyat daripada parti pembangkang diajak untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan membangunkan Bandar Raya Kuala Terengganu untuk muncul sebagai mercu tanda yang hebat pada masa akan datang.

Wakil BN (Jabi), YB Haji Ramlan Ali berkata, pembangunan yang dirancang adalah untuk kebaikan bersama negeri dan rakyat akan dapat menikmati kesan daripada kepesatan pembangunan bandar itu nanti.


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said bersama ketua pembangkang dan bersama-sama menjamah hidangan pada sesi rehat persidangan.

“Namun saya agak dukacita kerana ada di kalangan pemimpin pembangkang cuba menghasut penduduk kampung terbabit supaya tidak berpindah,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan menyokong ucapan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN), hari ini (6 April).

Katanya, beliau kesal wakil pembangkang telah menggunakan masjid dan surau untuk memberi gambaran negatif kepada penduduk tempatan agar tidak menyokong projek pembangunan yang kerajaan laksanakan.

“Lebih banyak projek yang dibangunkan oleh kerajaan lebih luas peluang rakyat mendapat manfaat sama ada pengusaha kedai makan, penjual barangan kraf dan sebagainya kerana kedatangan pelancong yang keluar masuk kesini akan berbelanja,” katanya.


Pelajar sekolah yang hadir menjadi pemerhati sempat begitu bertuah dapat bertemu dengan Menteri Besar.

YB Haji Ramlan juga meminta pihak berwajib supaya menghidupkan kembali program gotong-royong menjaga kebersihan seperti yang pernah diadakan tidak lama dulu kerana dengan penglibatan semua pihak termasuk jabatan kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan, swasta dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK)..

“Pencegahan dan kawalan demam denggi ini amat perlu di samping kempen memelihara alam sekitar dan mencintai kebersihan kerana mengikut laporan setiap bulan ada saja kes demam denggi berlaku dan pada tiga bulan tahun ini sudah ada 270 kes yang dikesan,” katanya.

Jangan Letak Kesalahan Pada Pihak Lain:

TIDAK semestinya sesuatu yang baik itu datangnya dari atas, kadang-kadang yang baik datangnya dari bawah dan tidak semestinya yang buruk itu datangnya dari bawah kadang-kadang ia juga datang dari atas.

Itu kata-kata awal Wakil BN ( Tepoh) , YB Haji Muhammad Ramli Nuh yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan sidang DUN, hari ini.


Suasana sillaturahim antara wakil rakyat ketika di luar dewan.

Beliau yang memulakan ucapan dengan membaca peringatan daripada satu Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Mereka itu adalah di antara orang-orang yang mendengar sesuatu, khususnya sesuatu nasihat, lalu mengikuti apa yang terbaik diambil di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberikan petunjuk hidayah oleh Allah SWT dan mereka itulah sebenarnya orang-orang yang mempunyai akal yang diistilahkan sebagai ulul albab”

Maksudnya, Allah SWT lebih meminta kita untuk bercakap dan berucap tentang persoalan untuk kebaikan bersama tanpa terlalu meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.

“Apatah lagi untuk menuduh atau mencerca, mencemuh dan mengeluarkan kata-kata nista dan hina bagi maksud untuk memastikan orang yang mendengarnya turut merasa benci kepada mereka yang yang dimaksudkan itu,” katanya.

Katanya, kalau itu yang berlaku kita telah mempengaruhi orang supaya bergaduh dan membenci antara satu sama lain sedangkan yang perlu kepada kita adalah orang ulul albab dan bercakaplah kepada perkara yang boleh memberi kebaikan kepada masyarakat, agama bangsa dan negara.

YB Haji Muhammad Ramli seterusnya mengajak semua untuk berusaha mengamalkan perkara yang baik agar ianya menjadi kebiasaan dan akan menjadi amalan kekal dalam kehidupan seterusnya.


Pelajar sekolah yang hadir pada persidangan dewan sebagai pemerhati.

Beliau turut meminta kerajaan menyiasat mengenai aduan terdapat guru J-Qaf yang mengajar kanak-kanak tentang perkara yang tidak baik seperti menyebut dan memburuk nama pemimpin negara.

“Kita tidak nafikan hak mereka untuk mencari rezeki dengan mendapat jawatan yang baik dalam kerajaan tetapi biarlah melaksanakan tugas mendidik dengan baik bukanlah mengajar mereka kepada perkara yang boleh mengelirukan mereka,” katanya.

TERENGGANU HARI INI



berita penuh

Monday, April 5, 2010

Bijak Tangani Masalah Sosial


To' Puan Norliza (kiri) menyampaikan bantuan kepada penjaga pelajar terpilih kerana cemerlang dalam pendidikan.

Masalah sosial yang melanda masyarakat hari ini akibat kesan secara langsung krisis ekonomi yang melanda dunia haruslah ditangani secara bijak oleh golongan wanita bagi terus memantapkan institusi keluarga masing-masing.


Nasihat itu disampaikan Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Terengganu, To’ Puan Norliza Mahmud, ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-26 2010, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (1 April).

“Kesan krisis ekonomi yang melanda dunia semakin teruk sejak perang dunia kedua memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan seharian serta penyebab kepada masalah sosial.

AJK Puspanita bergambar kenangan dengan isteri Menteri Besar selepas majlis berkenaan.

“Akibat masalah sosial menausia sangguip berbuat apa sahaja, ada yang sanggup menjadi peragut, mencuri dan merompak. Tidak kurang juga yang berdepan dengan tekanan hidup melakukan penderaan terhadap kanak-kanak dan menambah kes-kes pembuangan bayi,” kata beliau lagi.


Turut hadir, Pengerusi Puspanita Negeri, To’ Puan Rohani Abdullah dan Pengerusi Puspanita Cawangan seluruh daerah.

Beliau yang juga isteri Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata semua wanita sama ada yang bekerja atau suri rumah sepenuh masa perlu peka dengan senario yang melanda negara dan masyarakat supaya kesan buruk itu tidak menimpa keluarga dan masayarakat sekeliling kita.

Katanya, wanita juga perlu merancang perbelanjaan harian secara berhemah dan berbelanja untuk barang penting sahaja bagi mengelak pembaziran selain meningkatkan tahap keselamatan diri dan keluarga.

Dalam pada itu, To’ Puan Rohani menjelaskan Puspanita perlu sentiasa aktif dengan mempelbagaikan aktiviti tanpa terikat dengan hal kewanitaan semata-mata dan bergerak selari dengan arus kemodenan dunia tanpa sempadan.

Beliau berkata, Puspanita sentiasa membela nasib ahli dan mengadakan banyak aktiviti yang mampu memberi input positif kepada ahli yang selama ini sentiasa menyokong pergerakan persatuan itu.


Orang ramai dan juga ahli Puspanita mengambil kesempatan meninjau ruang niaga yang turut diadakan pada hari berkenaan.

Selain itu, penubuha Tabung Latihan Puspanita antara lain bertujuan memberi bantuan kewangan pendaftaran kepada ahli dan anak ahli yang berjaya ke universiti terpilih yang ditetapkan serta menaja biasiswa kepada anak ahli yang mencapai keputusan Nilai Gred Kulmulatif Purata (CGPA) 3.5 ke atas.

Selain itu, Tabung Puspadara pula diwujudkan bagi membantu ahli dan keluarga ahli yang menghidapi penyakit tertentu khususnya kanser payu dara dengan membuat permohonan secara terus menerusi Puspanita negeri.

TERENGGANU HARI INI



berita penuh

Friday, April 2, 2010

Formula 201052 Sasar Pendidikan Cemerlang


Dato' Ahmad berbual dengan pelajar cemerlang SPM dan STPM yang mempelorehi imbuhan pada Pelancaran 201052 `Terengganu Anjung Ilmu' di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Tiada jalan pintas untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran kecuali kerja keras yang digembleng ibu bapa, guru, pejabat pelajaran dan kerajaan bagi meletakkan Terengganu sebaris dengan negeri-negeri lain.


“Selain menyediakan peruntukan, insentif lain diberi untuk menjana kecemerlangan pendidikan di semua peringkat dari pendidikan prasekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.


Menteri Besar menekan butang merasmikan pelancaran Terengganu Anjung Ilmu.

“Kemiskinan bukan lagi alasan untuk ibu bapa tidak menghantar anak-anak ke sekolah dan mereka yang tinggal di kampung atau di bandar diberi layanan dan bantuan sama rata dalam bidang pendidikan,” kata Menteri Besar,Dato’ Ahmad Said kepada pemberita selepas Pelancaran 201052 di Dewan Besar, Wisma Daru Iman,Kuala Terengganu, hari ini (30 Mac).

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran, Haji Ariffin Embong.

Katanya, seperti sebelum ini program Terengganu Anjung Ilmu telah dilancarkan dan hari ini satu lagi program iaitu 201052 khusus untuk kecemerlangan dalam peperiksaan awam yang ingin dicapai mulai tahun ini.

Dato’ Ahmad menjelaskan bahawa 201052 adalah tahap sasaran iaitu 20 peratus calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat semua A, 10 peratus bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) lima (5) peratus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua (2) peratus bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat semua A dalam peperiksaan.


Para guru seluruh negeri Terengganu bersalaman sambil memberikan tepukan gemuruh kepada Menteri Besar sebaik tiba di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

“Hasrat dan impian ini bukan suatu angan-angan yang tidak mungkin kita capai kerana kita telah berjaya membuktikan dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM yang lalu,” katanya.

Katanya, kini kerajaan telah mewujudkan kelas maya dan peperiksaan secara `online’ serta 3,000 soalan untuk latih tubi sebagai ukuran kecerdasan pelajar Ttahun Lima dan Enam.

Kerajaan juga menyalurkan peruntukan RM2 juta setahun ke sekolah elit/premier dan membelanjakan RM372 juta melalui Yayasan Terengganu untuk pinjaman dan biasiswa anak-anak Terengganu.

Sempena dengan pelancaran 201052, turut diadakan lintas langsung pelajar-pelajar di kelas maya dari 10 sekolah dalam daerah Kuala Terengganu yang sedang membuat latih tubi dalam kelas masing-masing.

TERENGGANU HARI INI



berita penuh