Oleh: Esah Abdullah
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Kerajaan meluluskan RM4.9 juta bagi projek fertigasi tanaman cili di bawah Program Rangsangan Ekonomi Kedua yang diusahakan Lembaga Tembakau Negara (LTN), khusus untuk peserta tanaman tembakau di negeri ini yang tidak lagi mengusahakan tanaman itu tahun ini.
“Saya berharap 300 peserta yang terpilih ini tidak akan melepaskan peluang untuk mengusahakan pelbagai tanaman alternatif yang dicadangkan oleh kerajaan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Rozi Mamat pada majlis penyampaian bantuan ihsan kepada penanam tembakau daerah Marang dan Setiu di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah, Lembaga Tembakau Negara, Encik Ahmad Loman dan Pengarah LTN Terengganu, Puan Farini Halim.
Encik Rozi berkata, tahun lalu, RM10 juta diperuntukkan membabitkan 307 orang yang mengusahakan projek intergrasi seperti cili, keledek, cendawan dan sebagainya bagi mengurangkan pergantungan kepada tanaman tembakau.
Menurutnya, LTN menyediakan pelbagai pelan tindakan untuk pelaksanaan tanaman integrasi bagi menambah nilai projek di samping mewujudkan bengkel kraf bagi menghasilkan produk berasaskan Kenaf.
Sementara itu YB Rozi menyatakan, bantuan yang diberikan ini merupakan kali kedua berjumlah RM114,000 membabitkan 121 penanam tembakau di mana tahun lalu mereka telah menerima bantuan segera sebanyak RM500 seorang.
Kumpulan yang menerima bantuan ihsan ini rata-rata yang mengalami kerosakan dan kerugian akibat hujan lebat yang berlaku pada Mac tahun lalu dan pemberian ini bukan ganti rugi atau pampasan sebaliknya tanda prihatin kerajaan kepada penanam tembakau.
“Semua bentuk bantuan ini mencerminkan peserta amat dekat dengan hati pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dan sumbangan seperti bukanlah yang terakhir sebaliknya banyak lagi akan disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang bermula pada 2011,” katanya.
TERENGGANU HARI INI
No comments:
Post a Comment