Pelajar cacat pengelihatan yang baru menjalani pembedahan mata yang ditanggung Kerajaan Negeri Terengganu, Nur Najmi Syamila Mohd Sakari, 18, gembira selepas melihat keputusan SPM yang memperolehi 8A 2B.
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Pelajar cacat penglihatan, Nur Najmi Syamila Mohd Sakari, 18, mencatat sejarah dalam pendidikan negara apabila muncul antara pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 bagi kategori pendidikan khas.
Anak petani dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu mencatat 8A dan 2B dalam keputusan SPM yang diumumkan serentak seluruh negeri, hari ini (11 Mac).
Dia yang ditemani bapanya, Mohd Sakari, 54, dari Kampung Jerung Tuan, Wakaf Tapai, Marang menitiskan air mata kegembiraan apabila menatap keputusan yang tercatat pada slip keputusan peperiksaan yang diserahkan pengetua sekolahnya, Hajah Zabedah Muda.
“Saya mahu dedikasikan kejayaan saya kepada rakan-rakan yang senasib seperti saya supaya mereka belajar bersungguh-sungguh dan tidak menjadikan kecacatan ini sebagai penghalang.
“Selepas ini saya berazam untuk menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan dan menjadi tenaga pengajar untuk membantu golongan seperti saya kerana hanya saya yang mampu merasai apa yang mereka rasai,” katanya.
Katanya, usaha dan doanya tanpa henti selain sokongan keluarga dan guru yang tiak jemu membimbing dan memberi pengajaran khas kepadanya akhirnya berbaloi dengan apa yang sudah terbukti kini.
Nur Najmi berkata, walaupun dilahirkan cacat, beliau tidak pernah merasa serba kekurangan, malah yakin kepada kemampuan diri dan tidak sesekali menyerah kalah dan berusaha untuk mencapai sasaran dan menggembirakan keluarga.
Bapa Nur Najmi, Mohd Sakari bekerja sebagai petani, yang tidak dapat membendung tangisan kesyukuran dengan kejayaan luar biasa anak keenam daripada lapan beradik itu, tidak menduga anaknya yang dilahirkan cacat penglihatan sejak kecil itu mampu membuktikan kecacatan bukan penghalang untuknya cemerlang.
Tiga gambar ini menunjukkan reaksi Nur Najmi Syamila ketika melihat keputusan SPM.
“Pak cik terharu sangat..sentiasa minta hidayah dan petunjuk dari Allah SWT supaya anak pak cik berjaya dan Alhamdulillah hari ini dia berjaya.
“Dia jadikan empat kakak dan abang yang lain sebagai contoh dan pak cik terharu sangat walaupun peringkat awal risau juga memikirkan nasib dia. Tapi apabila masuk sekolah menengah dia semakin bagus dan sentiasa cemerlang dalam pelajaran,” katanya.
Nur Najmi antara pelajar pendidikan khas yang menjalani pembedahan mata sumbangan kerajaan negeri pada Disember lalu.
TERENGGANU HARI INI
No comments:
Post a Comment