Monday, March 15, 2010

Jalan Empat Lorong Atasi Kesesakan Kuala Terengganu


Menteri Besar turun padang meninjau kawasan bagi tujuan menaiktaraf jalan dan pembinaan longkang besar di Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Masalah kesesakan lalu lintas di Bandar Raya Kuala Terengganu dijangka dapat diselesaikan menjelang 2012 apabila kerajaan negeri bercadang menaiktaraf jalan, longkang dan perparitan di sepanjang laluan Jalan Budiman hingga kawasan Bukit Besar menjadi jalan empat lorong dengan peruntukan kira-kira RM60 juta.

Projek menaiktaraf jalan empat lorong dengan pembinaan longkang besar sepanjang lima kilometer di bawah jalan itu dijangka bermula pertengahan tahun ini.


Berbincang dengan penduduk sekitar bagi memberitahu perlaksanaan projek menaiktaraf jalan dan longkang.


Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata keluasan jalan dan perparitan di kawasan itu mencukupi untuk dibangunkan sebagai jalan empat lorong tanpa melibatkan sebarang proses pengambilan tanah penduduk setempat.

“Saya hari ini mengadakan lawatan ke semua kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam daerah Kuala Terengganu untuk melihat sendiri permasalahan, untuk baiki jalan-jalan yang rosak di kampung-kampung dan menaiktaraf longkang-longkang dalam bandar dan sebagainya.


Mengenalpasti beberapa longkang yang akan dinaiktaraf.

“Kita telah mengenalpasti beberapa longkang utama yang akan dinaiktaraf sebagaimana kita tengok tadi berdekatan Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Jalan Budiman sampai ke Bukit Besar, iaitu asalnya parit tali air untuk menanam pada suatu masa dulu, kita akan naik taraf menjadi jalan empat lorong di bawahnya dijadikan longkang yang besar,” kata beliau ketika melawat beberapa kawasan Pihak Berkuasa Tempatan daerah Kuala Terengganu, di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu, hari ini.

Menteri Besar berkata, projek menaiktaraf longkang dan sistem perparitan itu bukan hanya dapat mengatasi masalah banjir di kawasan itu, malah menjadi kawasan takungan tadahan air serta menguraikan masalah trafik yang memasuki Bandar Raya Kuala Terengganu.


Projek serampang tiga mata dijangka siap dalam tempoh 18 bulan selepas ditender.

Katanya, projek `serampang tiga mata’ melibatkan kerja menaik taraf jalan, longkang dan sistem perparitan dijangka mula ditender pada pertengahan tahun ini serta siap dalam tempoh masa 18 bulan berikutnya.

Dato’ Ahmad berkata, MBKT bertindak sebagai pihak pelaksana dan mengeluarkan tender bagi kerja menaiktaraf dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu bagi merangkan pelan secara bersepadu.

Dalam pada itu, Kerajaan negeri juga akan menaiktaraf sistem perparitan di kawasan Banggol Tok Jiring menjadi sungai buatan yang berkeluasan kira-kira 40 meter lebar dan 3.3 meter dalam.


Dato' Ahmad juga sempat meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan menghubungkan Kampung Jeram, Manir ke Kampung Jeram Tokong.

“Kita juga akan kita naik taraf dan melihat supaya kita akan beri keutamaan kepada sistem perparitan utama iaitu saliran banjir sebab itu saya katakan yang kita perlu buat secara `over size’ macam di Banggol Tok Jiring, saya sudah mengarahkan JPS mengenalpasti tanah-tanah yang perlu diambil balik.

“Kita akan buat sungai baru, sungai buatan kira-kira 40 meter lebar mungkin sampai 3.3 meter dalam.Sekurang-kurangnya kalau banjir di situ kawasan sungai berkenaan akan dijadikan sebagai kawasan takungan,”katanya.

TERENGGANU HARI INI

No comments:

Post a Comment