Oleh: Esah Abdullah
Kerajaan negeri memperuntukan RM2 juta untuk membeli ‘hadiah misteri’ untuk diagihkan kepada 21,735 guru seluruh negeri sebagai tanda terima kasih kerana berjaya memikul amanah mendidik anak bangsa tanpa rasa jemu.
“Saya akan pergi ke daerah-daerah untuk bersalam dengan setiap guru sambil menyampaikan cenderamata kenangan,” kata Menteri Besar Dato’ Ahmad Said yang enggan berterus terang bentuk pemberian yang dinyatakan..
Katanya, kerajaan juga telah menaja lawatan ke luar negara kepada 60 guru termasuk pegawai di Jabatan Pelajaran sebagai menghargai sumbangan menaikkan imej negeri dalam bidang pendidikan.
“InsyaAllah, jika tahun ini kita dapat mengekalkan keputusan terbaik kali ke -10 dalam peperiksaan awam, lebih ramai guru diberi peluang mengikuti program lawatan ke luar negara,” katanya di majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Gong Badak hari ini (30 Mei).
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.
Sehubungan itu kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan dan perhatian dalam usaha memperkasakan pendidikan atas prinsip dan keyakinan, pendidikan sebagai agen dan instrument perubahan sikap dan minda rakyat.
“Pendidikan mampu membantu usaha membasmi kemiskinan,penyusunan semula masyarakat, mengukuhkan perpaduan, mencerna pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.
Menteri Besar meminta warga guru terus melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab secara dinamis dan progresif untuk membina keperibadian insan mulia di samping dapat menabur bakti kepada negara.
“Kita tidak mahu insan yang hebat pengetahuan serta tinggi keilmuannya tetapi rendah akal budi,” kata Dato’ Ahmad di hadapan lebih 2,000 wagra guru seluruh negeri yang hadir di majlis tersebut .
Katanya, telah banyak kejayaan dan kemajuan pendidikan dicipta namun sekarang bukan masa berpeluk tubuh kerana kita berhadapan dengan cabaran baru yang memerlukan kreativiti dan inovasi untuk bersaing dipersada antarabangsa.
“Warga guru hendaklah berusaha meletakkan penanda aras baru pendidikan yang lebih berkualiti dan mempastikan kita memenuhi tuntutan global.disamping meningkatkan kualiti diri untuk melonjakkan kecemerlangan murid,” katanya.
Beliau seterusnya mengajak semua warga pendidik membulatkan tekad untuk melaksanakan tugas membangunkan pendidikan negeri yang merupakan amanah besar perlu digalas bersama bagi melonjakkan kecemerlangan negara di persada dunia.
Sementara itu, Haji Ahmad Mahmood, dari Kampung Binjai, Kemaman telah diumumkan sebagai Tokoh Guru 2010 yang membawa pulang wang tunai RM10,000, medal emas, sijil penghargaan, tafsir al-Quran dan sepersalinan pakaian kebangsaan.
No comments:
Post a Comment