Tuesday, June 1, 2010

PERKHIDMATAN AWAM TUNJANG KERAJAAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Perkhidmatan awam mempunyai kaitan yang begitu rapat dengan pembangunan dan kesejahteraan rakyat, boleh diibaratkan sebagai tunjang.

Mereka adalan agen pelaksana kepada dasar-dasar dan keputusan kerajaan. Penjawat awam adalah barisan hadapan yang akan menunaikan perkhidmatan dan janji kerajaan kepada rakyat.


Benarlah kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said penjawat awam atau mudahnya jentera pekerja kerajaan supaya peka dan mendalami masalah rakyat.

Mereka perlu memantau, memahami denyut nadi rakyat, menyiasat sesuatu perkara hingga ke akar umbi untuk memastikan sesuatu perlaksanaan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Kesan atau impak setiap perlaksanaan, perkhidmatan mahupun pembangunan oleh pihak kerajaan mestilah dapat dirasai oleh rakyat dan menyentuh hati-nurani rakyat atau dalam loghat Terengganu disebut ‘jelira’.

Ini bertepatan dengan konsep ‘Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang diperkenalkan di peringkat negeri Terengganu, khususnya.

Dato’ Ahmad ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman baru-baru ini mengingatkan penjawat awam terutama pegawai kanan supaya peka dan mendalami masalah rakyat.

Pegawai dan penjawat awam di Terengganu diingatkan agar tidak terlalu cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai kerana itu akan memberi kesan buruk kepada jabatan.

Beliau berkata amalan mudah berpuas hati dengan apa yang dibuat akan melahirkan pegawai-pegawai yang tidak komited terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Pegawai kanan atau ketua jabatan hendaklah sentiasa turun padang memantau sendiri sesuatu projek yang dijalankan dan tidak hanya bergantung laporan daripada pekerja di bawah.

Penjawat awam sudah tentu amat bersyukur mereka terpilih untuk berkhidmat dan diberikan gaji dari puluhan juta rakyat negara ini.

TERENGGANU HARI INI

No comments:

Post a Comment