Thursday, March 24, 2011

Berkabung Selama 40 Hari

Rakyat Terengganu diminta berkabung selama 40 hari bermula kelmarin hingga 29 April ini bagi menghormati kemangkatan bonda Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj.

Sepanjang tempoh tersebut, segala perhimpunan ramai, majlis atau acara anjuran kerajaan dan bukan kerajaan yang berunsurkan hiburan dilarang diadakan di seluruh negeri ini, termasuk hiburan pada kenduri perkahwinan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, semua perkara itu ditegah kecuali program atau acara berunsurkan keagamaan, pendidikan, riadah dan ilmiah.

Menurutnya, sesuai dengan peraturan perkabungan, semua pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri, Persekutuan dan badan berkanun dalam negeri ini juga diminta memakai songkok berlilit kain putih berukuran satu inci.

“Bagi wanita pula, mereka hendaklah memakai selendang atau tudung warna putih manakala bangsa lain perlu bertali leher hitam atau lilitan lengan hitam (armband) di sebelah kanan (bagi lelaki) dan lilitan lengan hitam bagi wanita.

“Bagi polis dan tentera menurut cara pemakaian yang telah ditetapkan oleh peraturan masing-masing,” katanya dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya di Seri Iman, di sini semalam.

Selain itu kata Ahmad, semua bendera negeri dan lain-lain bendera kecuali Jalur Gemilang di jabatan-jabatan, bangunan kerajaan negeri, persekutuan, badan-badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan (PBT), bangunan perniagaan, perusahaan dan kediaman hendaklah dikibarkan separuh tiang.

Beliau berkata, semua masjid dan surau di Terengganu juga diarahkan mengadakan majlis tahlil selama tujuh hari.

TERENGGANU HARI INI

berita penuh