Thursday, February 17, 2011

Umno Marang Bersatu

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman

Kehadiran penuh saf kepimpinan Umno Bahagian Marang dan ketua-ketua sayap parti itu serta lebih 1,000 orang dengan sebahagian besarnya bekas pejuang Umno, pada majlis

Mesra Veteran Bersama Pemimpin, Jasa Mu DiKenang peringkat Parlimen Marang, petang ini, membuktikan kesungguhan parti itu merebut semula kerusi Parlimen Marang daripada pembangkang.


Penyelia Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu Parlimen Marang, Anuar Yahya, berkata pihaknya yakin kehadiran luar dugaan pada majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang, akan menyemarakkan usaha untuk membangkitkan semangat petugas parti bagi memenangi semula calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Majlis ini menyaksikan kehadiran pemimpin baru Umno dan bekas pemimpin parti ini di peringkat bahagian. Semua pihak terlibat secara langsung dan hadir di majlis ini, tidak ada kem atau puak-puak tertentu seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak sebelum ini.

“Hilang rasa penat dan lelah petugas yang bertungkus lumus menyediakan pelbagai persiapan bagi menjayakan majlis ini sejak lebih sebulan lalu,” katanya kepada Teganukita selepas majlis tersebut selamat disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Rasa teruja Anuar dengan kehadiran yang ramai itu terbukti apabila dewan berkenaan tidak mampu menampung kehadiran para hadirin, sehingga mereka terpaksa duduk di kanopi yang dipasang di tepi dewan tersebut.

Antara pemimpin bahagian yang hadir ialah Ketua Umno Bahagian, Encik Yahya Khatib dan Timbalannya, Haji Alias Abdullah; Naib Ketua Bahagian, Encik Razali Idris, Ketua Pergerakan Pemuda, Encik Saiful Bahri Dato’ Baharuddin dan Ketua Puteri Bahagian, Marina Endut.

Kehadiran yang luar biasa itu juga menimbulkan semangat kepada Menteri Besar yang berucap agak panjang walaupun beliau menghadiri acara yang sama pada sebelah pagi di peringkat Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, jasa veteran amat besar kerana mereka berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata, walaupun banyak negara lain di dunia yang mempunyai bilangan umat Islam yang jauh lebih besar berbanding negara ini, mereka gagal memartabatkan Islam sebagai agama rasmi.

Di Indonesia sebagai contoh, katanya, mempunyai kira-kira 200 juta penganut Islam, tetapi Islam bukan agama rasmi republik tersebut.

“Terdapat ramai ulamak yang lebih hebat di Indonesia, tetapi mereka tidak mampu menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara itu,” katanya.

Beliau berkata, itulah kehebatan pejuang Umno dan sewajarnya ia disanjung oleh generasi hari ini.

TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Wednesday, February 16, 2011

Sikap Anwar Hina Batik Dikesali

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menghina batik Malaysia dalam satu syarahan umum di Indonesia, baru-baru ini.

Beliau berkata, Ketua Pembangkang itu mempunyai agenda tersendiri apabila dia tidak mahu mengakui batik Malaysia khususnya batik Terengganu, mempunyai pelbagai keunikan termasuk corak dan rekaan.


“Batik Malaysia bukan hanya digemari masyarakat tempatan malah pelancong luar negara termasuk Itali dan Perancis.

“ Apabila datang ke Terengganu mereka tidak akan melepaskan peluang membelinya untuk dijadikan kenang-kenangan dan cederahati kepada rakan senegara,” katanya.

Teganukita difahamkan Sultan Brunei Darulsalam dan kerabat negara itu sering menempah batik dan songket Terengganu bagi pelbagai tujuan, termasuk hiasan di istana.

Menteri Besar berkata, sekiranya benar batik Malaysia jelik atau buruk, sudah lama ia tidak boleh bertahan di pasaran, namun dakwaan itu sememangnya meleset ekoran tekstil itu semakin hebat di mata dunia.

“Anwar bukannya seorang yang pakar mengenai batik dan tidak wajar beliau mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan industri batik di negara ini termasuk Terengganu,” katanya.

TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Saturday, February 12, 2011

Kerajaan Lulus RM10 juta Tingkat Kemudahan Hospital Kemaman

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Zul Putra


Menteri Kesihatan, Dato' Seri Liow Tiong Lai bersama Dato' Ahmad Shabery Cheek dan Dato' Seri Ahmad Said ketika melakukan lawatan ke Hospital Kemaman.

Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan RM10 juta bagi menaiktaraf pelbagai kemudahan di Hospital Kemaman, dalam usaha menyediakan lebih banyak kemudahan kesihatan dan menaiktaraf kesihatan rakyat, khususnya penduduk di daerah berkenaan.


Kelulusan serta-merta itu dilakukan hasil lawatan kerja Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, ke hospital berkenaan hari ini, bagi meninjau secara lebih dekat pelbagai masalah yang dihadapi pihak pengurusan hospital berkenaan.

Beliau berkata, sebahagian daripada peruntukan segera itu akan digunakan bagi menyediakan pelbagai peralatan kesihatan, termasuk CT Scan dan pelbagai peralatan untuk dewan bedah.



“Sebahagian lagi akan digunakan bagi mewujudkan wad Unit Rawatan Rapi (UCI) di hospital ini kerana hospital ini belum mempunyai kemudahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke hospital berkenaan.

Turut serta dalam lawatan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Dato’ Seri Liow berkata, pihaknya prihatin dengan masalah kesesakan di wad hospital berkenaan dan kekurangan doktor pakar dan langkah jangka panjang akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.



Bagi keselesaan pesakit, katanya, kementerian itu akan membina sebuah hospital baru di Bandar Baru Kijal di mana kawasan seluas 50 ekar sudah dikenal pasti bagi tujuan berkenaan.

“Hospital baru ini akan dibina melalui Rancangan Malaysia ke-10 dengan mengambil kira pelbagai kemudahan yang diperlukan, termasuk menambah bilangan klinik-klinik pakar untuk pesakit menerima rawatan,” ujar beliau.


TERENGGANU HARI INI

berita penuh