Tuesday, December 28, 2010

Kelapa Kurang Di Terengganu, Harga Santan Naik

Kelapa dikatakan berkurangan di Terengganu yang banyak mempunyai pokok kelapa, menyebabkan harga santan segar kini meningkat pada harga RM9 sekilo berbanding RM6 sekilo bulan lalu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu, Hasan Jusoh berkata antara punca kekurangan kelapa ialah pekebun lebih banyak menjual kelapa muda kerana harganya lebih tinggi.

Beliau berkata harga runcit kelapa muda sekarang ialah RM2.50 sebiji sementara di peringkat ladang antara RM1.00 hingga RM1.50 sebiji.

Harga kelapa tua ialah 70 sen sebiji.

Beliau berkata kekurangan kelapa turut berlaku di negeri lain.

"Sehubungan kekurangan ini, kami sedang cuba mendapatkan bekalan kelapa dari pengimport untuk mengatasi masalah yang dihadapi," katanya.

TERENGGANU HARI INI

berita penuh

Sunday, December 5, 2010

HAFAZ MUQADDAM PEMULA LANGKAH



Terengganu melalui Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu merupakan pelopor kepada pembangunan modal insan Program Menghafaz Muqaddam, bagi merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan golongan cerdik pandai, pintar Al-Quran dan pemimpin Ulul Albab di masa hadapan.


Kesungguhan kerajaan negeri dalam menjayakan program sebegini jelas terbukti dengan peruntukkan sebanyak RM 10 juta setahun untuk 35 buah TASKA Keluarga.

Kini kemiskinan bukan lagi alasan untuk ibubapa tidak menghantar anak-anak mendapatkan pendidikan yang sempurna sejak anak-anak mereka masih kecil kerana mereka diberi layanan dan bantuan sama rata di bidang pendidikan selaras dengan slogan kerajaan negeri sekarang iaitu “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.




Pemupukan nilai-nilai murni melalui persembahan pentomen.

Pada tahun ini seramai 735 orang kanak-kanak yang berjaya menghafaz Muqaddam dan ini menunjukkan peningkatan seramai 141 orang.

Rakyat boleh berbangga dengan program ini yang dapat menarik minat kanak-kanak untuk bersaing dan juga ibu bapa yang banyak memberi sokongan terhadap usaha sebegini.

Sememangnya usaha sebegini amat wajar dilaksanakan kerana pembangunan kerohanian dan pembangunan infrastruktur hendaklah seimbang apatah lagi di sebuah negara Islam moden ini.


Kemesraan yang terjalin antara dua generasi.

Pada majlis yang berlangsung baru-baru ini, kemampuan anak-anak yang berusia 2-4 tahun jelas mempamerkan semangat dan tahap disiplin yang tinggi sehinggakan dapat menghafaz 32 Surah Lazim.

Bagi memupuk semangat kerjasama serta sikap kebergantungan antara satu sama lain dan untuk jangka masa yang panjang, ianya akan memberikan satu impak yang besar dalam pentadbiran dan pembangunan negara.

Program ini mungkin membazir pada sesetengah mata yang memandang tetapi ia boleh dianggap sebagai satu langkah yang bijak bagi membentuk sesebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa yang akan datang.


Didikan seawal usia melalui sokongan dan dorongan perlu bagi mencorakkan masa hadapan yang cemerlang, gemilang, terbilang kearah melahirkan generasi khairu ummah.

Melalui program seumpama ini, Terengganu dilihat telah mendapat nama di mata dunia dan semakin ramai yang memberikan sokongan serta kagum dengan usaha yang dilakukan di negeri ini.

Diharap apa yang telah dilaksanakan kini akan terus berkembang dalam memastikan setiap pemimpin yang lahir mempunyai nilai-nilai kemasyarakatan seiring dengan keinginan rakyat.

TERENGGANU HARI INI

berita penuh